Bling Bling

Rabu, 7 Disember 2011

Kerajaan Komited Bendung Jangkitan HIV/Aids Ibu Kepada Anak Menjelang 2015



KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited untuk menangani jangkitan HIV/Aids serta memastikan golongan amat berisiko tinggi diberi perhatian sewajarnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Aids Sedunia 2011 esok, beliau berkata jangkitan dari ibu ke anak atau transmisi vertikal (vertical transmission) akan terus diberi perhatian serius dalam usaha memastikan ia dapat dihindarkan sepenuhnya menjelang 2015.
"Kerajaan mahu fasiliti swasta yang masih belum melaksanakan ujian saringan HIV terhadap ibu-ibu mengandung agar melakukan aktiviti ini supaya liputan saringan HIV dapat dipertingkatkan kepada setiap ibu mengandung," katanya.
Selain itu, Liow berkata usaha akan dibuat bagi memastikan wanita di peringkat umur kesuburan dibendung daripada jangkitan HIV.
"Pasangan yang akan berkahwin harus mengetahui status HIV masing-masing dan bakal pasangan mereka supaya tindakan pencegahan dalam dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.
Tema global sambutan Hari Aids Sedunia bagi 2011-2015 ialah "Menuju Sifar".
Bagi sambutan tahun ini, Malaysia memilih slogan "Ke Arah Eliminasi Transmisi Vertikal" iaitu jangkitan dari ibu kepada anak untuk mengiringi tema global itu.
Kes jangkitan HIV pertama dikesan di Malaysia pada 1986 dan sehingga Sept 2011, 93,827 kes jangkitan HIV telah dikesan.
Daripada jumlah itu, 17,232 ialah pesakit Aids manakala 14,804 pula melibatkan kematian berkaitan HIV dan Aids.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, 2,465 kes jangkitan HIV baru dilaporkan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan